Tuesday, April 29, 2008

Peranggg !!!


Aku rasa dah sampai masanya untuk aku isytiharkan perang secara besar-besaran dengan segala benda yang membelenggu aku sekarang ini. Masalah besar akan menanti aku sekiranya aku terlalu mengikut arus. Hidup atau mati - itu saja pilihannya. Tidak boleh berdolak dalih lagi.

Bak kata Enida semalam, "bad habits are hard to break" dan ianya kini sudah sampai di tahap yang cukup kritikal. Aku perlu lakukan dengan segera !!!

Aku akan bercerita dengan lebih lanjut mengenai peperangan ini. Sekurang-kurangnya dengan pengumuman ini akan menjadi satu lonjakan bagi aku dan satu peringatan agar tidak terus lena dibuai mimpi.

Masa tidak menunggu akan lagi ... orang lain sudah ke bulan tapi aku masih di sini.

Peranggg !!!

Ahau-Dee

Pelawat?


Aku terima pelawat? Ops! Aku bukan di hospital dan aku tidak sakit … cuma seorang rakan semasa bekerja di Ford / AMI dulu datang melawat aku kerana dia sedang bercuti di sini bersama isterinya selama seminggu.

Terima Kasih Amarjip : )

Rasa terharu juga apabila dia bersusah payah menghubungi aku untuk memastikan yang aku tahu beliau berada di sini. Terasa semangat ke’Melaysia’an amat kental semasa aku perkenalkan dia pada rakan sepejabat. Tak kira kaum apa pun … kita tetap bangsa Malaysia dan apabila berada jauh dari negara, semangat itu menjadi lebih jitu.

Hmm …aku bangga jadi anak Malaysia. Huh! Macam tak percaya jer aku cakap macam ni.

Apapun, terima kasih Amarjip di atas segala nasihat dan petua untuk terus bertahan di negara orang. Sebagai orang yang lebih berpengalaman, aku akur pada setiap kata-katanya.

Dan aku akan berjumpa dengan dia lagi … malam ini ... : )

Ahau - Dee

Monday, April 28, 2008

Dah Sebulan?


Burried Village, Rotorua


Huh! Dalam sedar tak sedar, dah sebulan aku kat sini ... New Zealand ... the down under ... atau lebih tepat lagi, di Newmarket, Auckland.

Dan sebulan juga lah aku sudah bekerja dengan orang-orang Kiwi. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran aku sebelum ini.

Masih ingat lagi masa aku kecil dulu, bila orang melihat ada tahi lalat di kepalaku, maka mereka akan berkata ... bila besar nanti dia akan berjalan jauh ... akan ke luar negara dan dengan izin Tuhan, ianya berlaku. Itu sekadar kebetulan ... walaupun kata orang tua-tua ada benarnya.

Apapun, apalah sangat NZ ni jika dibandingkan dengan orang lain yang sudah mengelilingi dunia. Ops! Correction ! Bagi orang kampung macam aku ni yang sekolah tak tinggi mana pun, memang terasa akan 'keghairahan'nya dan jugak 'ketakutan'nya.

Ya lah, aku ni bukanlah pandai sangat ... bercakap pun tergagap-gagap tapi sekarang ni aku kena mengajar mat-mat salleh kat sini ... tak ke haru jadinya. Apa pun, marilah sama-sama kita menunggu dan melihat ... (pinjam kata-kata mr.manager)

Dua hari pertama aku di NZ, aku sempat ke Rotorua dan di bawah ni sebahagian gambar-gambar di sana.



Gambar di atas tu adalah tarian asli Kaum Maori yang dipersembahkan semasa melawat The Living Thermal Village, Whakarewarewa (pronounce dia 'Fuck kha rewa rewa' ) ... tu antara yang unik kat sini. Memang orang Maori nampak macam melayu tapi bila dah lama kat sini, kita akan dapat bezakan antara Melayu ataupun Maori ... he he he

Seperkara lagi, orang Maori ni suka berbadan besar ... kalau nak diikutkan adat dia orang, lagi besar lagi bagus. Jadi mereka tidak payah berusaha untuk menguruskan badan ... alangkah bestnya ... tak ada tekanan.



Gambar ni pulak, kanak-kanak Maori sedang menunggu pelawat melontarkan wang syiling dan mereka akan menyelam untuk mengambilnya dan duit tu dapat kat dia orang lah ... apa lagi. Bukan senang nak menyelam... he he he




Pemandangan bandar Rotorua dari Skyline. Tenang, nyaman dan sejuk. Tidak ada bangunan tinggi kat sini dan memang terasa kelainannya.



Aku di salah sebuah tasik ... tak ingat tasik apa ... banyak sangat tasik yang kami pergi dan waktu pulak dah suntuk ... jadi ambil gambar jer lah. Kata orang ni belum cantik lagi ... aku perlu pergi ke Bay of Island, Bay of Plenty dan banyak tempat lagi ... tak per ... banyak masa lagi.

Apapun, New Zealand sebuah negara yang cantik tetapi cabaran yang menanti aku lebih 'cantik' lagi rasanya ... dan aku tidak boleh terus leka dengan 'kecantikan' itu kerana ada tanggungjawab besar yang menanti. Cukuplah 'sebulan' aku bermimpi dengan keindahan di sini. Aku perlu bangun, berjalan dan berlari ... bak kata CT, ...

... apa pun yang terjadi
berjalanlah tanpa henti ...

dan perjalanan aku masih jauh lagi.


Ahau - Dee

Dendang Perantau ...



Dulu …

… aku tak pernah mahu memahami
mengapa perlu ada airmata bila mengucapkan
Selamat Tinggal ...

Dulu …

… aku tak pernah mahu mengerti
apa maknanya rindu
akan kampung halaman ...

Dulu …

… aku tak pernah mahu menyelami
kesyahduan dendang perantau
pada setiap Lebaran ...

Kini …

… aku memahami pilunya
… aku mengerti peritnya
… aku menghayati sendunya

dan aku berdendang
dalam sepi
sendirian.
Ahau - Dee





Esok ...


Jika aku diizinkan untuk meminta apa saja yang aku inginkan ... aku ingin mempunyai sikap rajin, sikap yang tidak suka bertangguh dan tidak akan menunggu 'esok' untuk melakukan sesuatu. Dah lama sikap ini hilang dari aku dan akhirnya aku akan berada di dalam keadaan yang tertekan ... ibarat dah nak 'melepas' baru nak mengorek lubang ... argh ! aku tak pandai berperibahasa.


Aku sangat perlukan 'kerajinan' itu agar dapat mengembalikan 'keyakinan diri' yang juga semkin pudar supaya aku kembali seperti dulu. Sepupu aku forwardkan satu email dan salah satu petikannya memang terkena dengan batang hidung aku nih :-


When you keep saying you are busy,
then you are never free.


When you keep saying you have no time,
then you will never have time.


When you keep saying that you will do it tomorrow,
then your tomorrow will never come.


Mampukah aku berubah? Adakah esok untuk aku?


Ahau - Dee

Thursday, April 24, 2008

Pembuka kata lah ni ...


Salam,


Buat kesekian kalinya aku mencuba lagi untuk mempunyai blog aku sendiri selepas beberapa percubaan sebelum ini gagal. Sehingga aku pun lupa blog-blog tersebut … entah apa namanya dan apa passwordnya … hilang begitu saja. Lagipun tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan blog-blog itu.

Kini aku mencuba lagi dan semoga ianya berjaya dan mampu aku ‘update’ dari masa ke semasa. Maklumlah aku ni kan ‘hangat-hangat tahi ayam’ jer. Sejarah telah membuktikan. Semoga aku menepati ‘janjiku’ kali ini.

Kalau dulu aku tak berani untuk war-war kan pada teman-teman dan hanya sekadar syok sendiri tapi kali ini aku nak menebalkan muka untuk mempelawa sesiapa saja yang sudi membaca blog ini.

Mulanya nak tulis in English tetapi memandangkan English aku ni baik sikit dari budak tadika, maka terpaksalah kulupakan hasrat tersebut. Bahasa Menunjukkan Bangsa ... kononnya. Betul tak Mas & Enida? (my English Sifu!)

Maka, All The Best to Ahau – Dee dan semoga ianya menjadi satu landasan untuk aku berkongsi secalit pengalaman di dalam kehidupan seorang insan biasa yang tak ramai orang kenal pun.

Kia Ora dan sudi-sudikanlah untuk memberi maklum balas agar blog ini tidak kelihatan sebagai ‘syok sendiri’. Datanglah selalu.

Ahau – Dee.

Note : Ahau bermaksud ‘Me’ ataupun ‘Saya’ dalam Bahasa Maori.