Thursday, August 7, 2008

080808

Esok merupakan tarikh yang istimewa - 08 08 08 ... pastinya ramai yang akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan sesuatu yang istimewa atau luar biasa untuk diingati sampai bila-bila. Mungkin bagi orang lain, ia hanya satu tarikh biasa seperti hari-hari yang lain dan tidak memberi apa-apa makna. Hakikatnya, citarasa setiap manusia itu berbeza.

Bagi aku ianya satu tarikh yang istimewa dan unik. Kebetulan pula jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Amat sesuai untuk membuka satu lembaran baru di dalam kehidupan untuk menjadi satu titik tolak ke arah sesuatu yang lebih baik.

Aku selalu percaya, di dalam mengharungi kehidupan ini kita perlu berhenti sejenak, merenung kembali apa yang dilalui, belajar dari kesilapan, mengutip segala pengajaran dan pengalaman untuk menjadi bekal di dalam meneruskan kehidupan ini. Kita jatuh, terluka, merawat luka dan bangun semula untuk menghadapi segala cabaran.



Alhamdulillah, selepas 4 bulan di sini aku semakin selesa, optimistik, percaya dan yakin pada diri sendiri untuk mencapai apa yang diingini. Tiada manusia yang sempurna tapi yang penting kita perlu sentiasa berusaha mencari kesempurnaan itu dan bersyukur di atas apa jua hasilnya.

Dengan segala kurniaan dari Tuhan - kesihatan, tenaga, peluang, rezeki yang melimpah ruah dan jalan yang terbentang luas, aku amat teruja untuk melalui hari-hari mendatang dari sudut pandangan yang amat berbeza dari apa yang aku lalui sebelum ini. Segala yang hilang pasti akan muncul kembali.

InsyaAllah, dengan izinNya, segalanya berkemungkinan.

Syukur. Terima Kasih Tuhan.

Ahau - Dee

No comments: